KaiZen

"Seandainya tersasar,pulang lah kembali ke jalan yang lurus.Ketenangan hati dan jiwa kian diperoleh andai kita mengenali siapa kita dan siapa PENCIPTA "

Wednesday, 17 January 2018

HASAD

Tempoh sebulan aku di rumah, ibarat air berlalu masanya. Laju. Pantas. Gelak, tawa, suka duka, belum puas kurasakan. Aku senang tatkala aku dimanjakan mak, ayah, adik, abang, kakak. Duniaku indah apabila mereka di sisi walaupun bibit bibit pertengkaran kadang kala kedengaran.
Aku mulai rindu jerit di pagi hari mengejutkan jiwa untuk bersiap sedia menempuh hari baru, menyembah yang Esa dan mengejutkan anak anak muda di rumah sebelah untuk menimba ilmu.
Akan tetapi dunia kami tidak selalu indah. Keluargaku menjadi tempat golongan bernafsu iblis melepaskan hasad dengki mereka. Santau, sihir, segala macam jenis belalang, jelmaan demi jelmaan kelihatan, bumbung rumah menjadi medan 'mereka' menjalankan tugas. Hampir pecah bumbung rumah dikerjakan. Rumah sudah dipagar, makhluk peliharaan Binatang itu tidak mampu menembusinya. Akan tetapi, pergerakkan keluargaku sering diintip dan diperhatikan.

Tiba masanya aku pulang ke belantara konkrit, tempat aku menimba ilmu. Kufikir aku terselamat, tetapi fikiran ku meleset apabila dia menghantar sesuatu ke dalam badanku. Pada mulanya kukira angin merosoh di dalam perut, makin dimakan ubat, makin sakit. Makin diurut, makin angin bertambah. Tandas menjadi bilik keduaku. Muntah sehingga tiada apa lagi yang boleh dimuntahkan. Ubat masih diamalkan.
Pada suatu ketika, di tempat punca rezeki keluargaku. Aku ditegur seseorang. Katanya apabila aku melewati di sebelahnya, bulu romanya tegak berdiri. Bagi seseorang yang dikurniakan kelebihan dan ilmu, dia mampu melihat dan merasakan apa yang tidak dirasakan oleh insan biasa. Dia mengatakan bahawa sesuatu bendasing menghuni di perutku. Sebaik sahaja dia mengubati tu, hampir sejam aku di tandas, mengeluarkan 'benda' itu. Perit. Pedih. Sakit. Air mata mengalir laju menandakan tubuhku tidak berdaya menahannya. Tapi aku harus kuat. Syukurku kehadrat Ilahi. 'Benda' itu berjaya dikeluarkan tetapi kesannya masih terasa. Aku masih muntah muntah.
Hari ini, hari terakhir aku di sini. Sejam sebelum aku bertolak, abangku pulak terkena buatan mereka. Insan durjana. Perit di raut wajahnya. Mengalir air mataku. Sepanjang aku merantau, belum pernah aku mengalirkan air mata ketika hendak berpisah. Kini air mataku tidak berhenti mengalir teringatkan nasib keluargaku. Hanya satu yang dipohon agar mereka sentiasa di bawah lindungan Allah Maha Esa.
Seperti orang tiada iman, mendoakan kematian seseorang. Ya itulah aku. Aku pernah memohon agar nyawanya dicabut cepat. Dia diseksa. Belaan makan tuan. Pelbagai kata kata kesat berlegar di kotak fikiran.
Tapi aku terlupa bahawa Allah Maha Membalas. Bukan hak aku meminta hayat seseorang dipendekkan. Bukan hak aku menghukum seseorang. Aku sering dinasihatkan berdoa agar dia kembali ke pangkal jalan. Agar hasad di hatinya dihilangkan. Agar keluargaku bisa hidup dengan aman dan tenang.
Aku pegang erat kata kata "SETIAP APA YANG BERLAKU, PASTI ADA HIKMAHNYA" dan "ALLAH SENTIASA ADA BUAT HAMBA YANG BERSABAR"